Refleksi mengenai Pembangunan Belia.
Sumber Foto: Iransafebox
Pada mulanya saya ragu-ragu untuk mengambil kursus citra Pembangunan Belia ini kerana tidak mempunyai sebarang kenalan. Namun, disebabkan minat dan ingin menjadi belia yang bertanggungjawab saya cekalkan hati untuk mengikuti kursus ini. Salah satu sebab saya ingin mengambil citra ini adalah kerana saya ingin belajar bagaimana untuk menjadi dan menjiwai watak seorang belia yang amanah dan berdedikasi. Saya ingin mengadaptasikan pembelajaran yang saya peroleh ke dalam kehidupan seharian saya memandangkan tempat tinggal saya sangat aktif dengan kegiatan belia ini. Saya juga tidak mahu ketinggalan walaupun saya belajar jauh. Alhamdulillah, ternyata tindakan saya tidak salah apabila kursus ini semakin lama semakin menyedarkan saya tentang kepentingan belia pada masa akan datang.
Aktiviti yang dilakukan pada setiap minggu sangat menarik dan menepati dengan pembelajaran setiap minggu. Melalui aktiviti yang diadakan saya memperoleh ramai kawan dan mempunyai keyakinan untuk berucap di depan. Aktiviti seperti itu menyedarkan saya untuk menjadi lebih matang dan professional dalam melakukan sesuatu perkara. Banyak pengajaran yang saya peroleh daripada kursus ini. Topik-topik yang di terangkan sangat menarik dan menepati piawai keadaan belia pada masa kini. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pensyarah saya iaitu Dr. Jamiah yang tidak jemu mengajar dan bersikap terbuka bagi kami memahami sesuatu isu dalam pembangunan belia.
Akhir sekali, kursus Pembangunan Belia ini sangat menarik dan wajar dijadikan sebagai citra pilihan anak-anak muda yang bergelar belia memandangkan semua sedia maklum bahawa untuk menjadi seorang belia mestilah berumur antara 15 tahun hingga 40 tahun. Kursus ini seharusnya mendapat perhatian dari banyak pihak dan bukan hanya dijadikan citra fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan sahaja malahan fakulti lain juga.
Cabaran dan Harapan
Cabaran yang saya peroleh untuk menjayakan citra Pembangunan Belia ini ialah untuk bangun di awal pagi Jumaat di mana semua rakan tidak mempunyai kelas tetapi hanya saya sahaja yang perlu hadir ke fakulti selama 3 jam. Namun, itu semua tidak mematahkan semangat saya untuk terus mengikuti kursus ini sehingga ke peperiksaan akhir tahun. Seterusnya, cabaran yang saya peroleh ialah apabila perlu menghadap tugasan di akhir waktu dimana pada waktu yang sama, kesemua kursus mengadakan perbentangan, kuiz dan sebagainya. Saya perlu membahagikan jadual dengan baik supaya kesemua kerja dapat dilakukan dengan sempurna. Akhir sekali, cabaran yang saya hadapi sepanjang mengikuti citra Pembangunan Belia ini ialah apabila mengetahui tarikh peperiksaan kursus ini dimana ianya jatuh pada 20 Jun 2017, iaitu lima hari sebelum perayaan Aidilfitri akan berlangsung.
Harapan saya terhadap citra Kursus Pembangunan Belia ini ialah supaya kursus ini dihebahkan dan menjadi pilihan orang ramai kerana kursus ini sangat bagus bagi melahirkan sifat jati diri . Saya berharap pihak universiti tidak hanya meletakkan kursus ini dalam Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan sahaja bahkan di fakulti-fakulti lain juga supaya lebih ramai pelajar yang mengetahui mengenai kursus ini. Selain itu, saya berharap supaya kelas kursus ini tidak diadakan hanya seminggu sekali bahkan ditambah kepada seminggu dua kali. Tambahan pula, bagi saya, wajar untuk pihak universiti untuk menambah kuota pelajar yang boleh mengambil kursus ini kerana lagi ramai, lebih bermutu kursus itu.
Akhir sekali, saya berharap agar kursus Pembanguna Belia ini terus kekal dan mampu menjadi pilihan seluruh warga Universiti Kebangsaan Malaysia !
Rumusan Pembelajaran
Citra Pembangunan Belia telah berjaya mengubah perspektif saya mengenai seorang individu yang bergelar belia iaitu mereka yang umur lingkungan 15 hingga 40 tahun. Pada mulanya saya takut bergelar seorang belia kerana bimbang tidak mampu mengharungi cabaran dan rintangan apabila meningkat dewasa. Namun, setelah mengikuti kursus ini, segala perasaan takut dan tidak yakin telah berubah dari sehari ke sehari. Puan Jamiah telah berjaya mempengaruhi secara positif minda saya mengenai belia.
Melalui citra Pembangunan Belia ini, saya telah mendapat suatu pengajaran dan pengalaman yang sangat bermakna. Melalui pembelajaran ini, saya lebih mengetahui tanggungjawab dan peranan seorang belia yang pro-aktif. Saya berazam untuk bergiat secara aktif dalam kegiatan belia tidak tidak di mana sahaja.
Melalui pembelajaran ini juga saya menjadi lebih yakin dan bersemangat dalam melakukan tugasan seorang belia. Saya juga telah mempunyai keazaman yang tinggi dalam membentuk diri untuk menjadi seorang belia yang kreatif dan inovasi. Banyak ilmu yang bermanfaat saya peroleh melalui citra ini dan saya akan mengaplikasikan semuanya dalam kehidupan seharian saya.
Selain itu, melalui citra Pembangunan Belia ini, saya telah mampu untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan yang berlainan fakulti. Kursus ini telah menambahkan ilmu dan penguasaan saya untuk berhadapan dengan orang ramai dengan lebih yakin. Melalui aktiviti dan kerja kursus yang diadakan, saya mampu untuk menutup rasa malu terhadap orang lain dan saya berjaya bercakap di depan awam bagi memenuhi segala kriteria untuk menamatkan kursus ini.
Hal ini secara tidak langsung berjaya melatih diri saya menjadi seorang pelajar merangkap seorang belia yang prihatin akan keadaan sekeliling dan bijak membuat keputusan kerana saya tahu apabila seseorang individu itu salah melakukan keputusan, maka diri mereka akan merana dan menghantui erti penyesalan.
Penilaian Kendiri
Terus terang saya katakan, kursus citra Pembangunan Belia ini adalah antara citra yang paling saya minati sepanjang sem ini. Tidak pernah sekali pun saya tidak hadir ke kelas tanpa alasan yang tidak munasabah kecuali pada minggu keenam ketika saya mendapat cuti sakit daripada Pusat Kesihatan UKM. Setiap minggu saya ternanti-nanti kelas ini kerana banyak sangat input positif yang saya peroleh. Saya telah mendapat aura positif dalam kehidupan saya terutama bagaimana untuk menjadi belia yang berkaliber.
Melalui kursus ini, saya telah mengetahui potensi diri saya dan kebolehpasaran diri saya. Saya akan menggunakan ia sewaktu saya keluar daripada universiti ini. Saya juga bertekad untuk bergiat aktif dalam projek belia di kampung saya setelah mendapat dorongan daripada tenaga pengajar kursus ini iaitu, Pn Jamiah.
Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada pensyarah saya yang lembut lagi baik hati kerana membimbing saya sehingga tamat kursus ini. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan yang sama-sama membantu dan memberi kerjasama sepanjang 14 minggu kuliah ini diadakan. Semoga kita dapat bersua dan bekerjasama lagi di masa akan datang.
Saya berharap agar kursus ini kekal di dalam UKM dan boleh dinaik taraf sebagai kursus wajib Universiti bagi memupuk jati diri belia kerana pembelajaran yang ada dalam kursus ini sangat baik. Semoga doktor terus tabah dan cekal dalam mendidik pelajar.
________________________________________________
Nurul Thahirah Abdul Wahab
Agen Pembangunan Belia SKPM 2023 Semester 2 2016/2017
Program Pengajian Bahasa Melayu
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan